Apr 20, 2021

TOURISM MALAYSIA LANCAR LAMAN INTERACTIVE DIGITAL BROCHURES

KUALA LUMPUR, 20 April 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia hari ini melancarkan Interactive Digital Brochures, iaitu sebuah laman microsite yang memberikan nafas baharu kepada penjenamaan semula pendigitalan risalah-risalah Tourism Malaysia menerusi pelayaran secara interaktif di ebrochures.malaysia.travel.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang hadir melancarkan laman tersebut berkata, sebagai permulaan, lima risalah digital Tourism Malaysia paling digemari pelancong telah dimuat naik di laman tersebut iaitu Malaysia Travel Guide, Kuala Lumpur the Dazzling Capital City, Langkawi the Jewel of Kedah, Islands and Beaches dan Adventures with Nature.

Berbeza dengan penerbitan e-brosur berformatkan pdf yang hanya boleh dimuat turun dan dicetak, risalah versi digital serba baharu di laman tersebut kini menggabungkan pelbagai elemen multimedia seperti teks, audio, grafik, animasi serta video untuk penyampaian informasi lebih berkesan.

Laman tersebut bersifat mesra pengguna dan lebih responsif sekali gus memudahkan orang ramai mengakses risalah tersebut melalui peranti mudah alih seperti telefon pintar, tablet mahupun komputer riba. Kandungan risalah digitalnya turut mudah dikongsi melalui pelbagai aplikasi lain seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan juga emel.

Selain mengguna pakai Google Analytics untuk penganalisisan data dan bersifat mesra Search Engine Optimization (SEO) bagi capaian lebih meluas, laman tersebut yang direka khas dengan paparan lebih moden dan bergaya, juga boleh dikemas kini dengan serta-merta.

Menurut Dato’ Sri Hajah Nancy lagi, pelancaran Interactive Digital Brochures adalah sejajar dengan usaha untuk mempergiat digitalisasi pelancongan bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan seperti digariskan di bawah Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

“Laman ini memanfaatkan pautan Google Maps untuk membantu para pelancong serta pengusaha pelancongan bagi merancang perjalanan, memilih penginapan yang sesuai serta mengetahui kemudahan yang ada di sekelilingnya seperti stesen minyak, restoran, kemudahan parkir dan hospital,” jelas beliau

YB Dato’ Sri Hajah Nancy menyeru orang ramai untuk memanfaatkan informasi yang ada dalam laman interaktif tersebut serta mengambil peluang merancang percutian selamat bersama keluarga dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Tentang Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Tuan Syed Muhadzir Jamallulil
Timbalan Pengarah
Unit Penerbitan Risalah Tourism Malaysia
syedmuhadzir@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8227

Related Photos

Copyright ©2021 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use