Apr 12, 2021

DANA GALAKAN MELANCONG (GAMELAN) DITERUSKAN DENGAN PENAMBAHBAIKAN NORMA BAHARU

PUTRAJAYA, 12 April 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Tourism Malaysia akan meneruskan pemberian Dana Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) untuk kempen promosi dan pemasaran sektor pelancongan dalam dan luar negara bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia sekaligus merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, program GAMELAN yang diperkenalkan pada 9 Julai 2019 lalu, dengan peruntukan sebanyak RM5 juta, telah ditangguhkan pada tahun lepas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.

Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy, Kementerian Kewangan telah meluluskan penyambungan semula peruntukan khas program GAMELAN yang masih berbaki sebanyak RM3,086,180 bagi kegunaan program sepanjang tahun 2021.

Tambah beliau, garis panduan GAMELAN juga turut ditambah baik bersesuaian dengan norma baharu pasca Covid-19 bagi mengaktifkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya yang terjejas teruk dengan mengambil kira aspek promosi pelancongan secara digital.

Turut dipinda ialah siling peruntukan untuk setiap syarikat yang dinaikkan dari RM200,000 ke RM300,000. Bagi promosi dalam dan luar negeri, juga masing-masing dinaikkan kepada RM20,000 dan RM30,000.

Prosedur permohonan dan pembayaran juga akan dipermudah dengan mengambil kira pelaksanaan yang lebih sesuai berdasarkan situasi semasa. Ia turut melibatkan aktiviti promosi digital seperti penyertaan pameran pelancongan dan misi jualan secara maya termasuk webinar serta video produk pelancongan menerusi platform atas talian.

Pihak yang layak memohon GAMELAN ialah agensi dan persatuan pelancongan berdaftar, pengusaha penginapan, persatuan beli-belah, pelancongan berasaskan komuniti (CBT), kelab/persatuan yang mempromosikan produk minat khas (niche) serta lain-lain aktiviti pelancongan berkaitan.

Walau bagaimanapun, pertimbangan permohonan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut mengenai GAMELAN, sila layari laman sesawang www.tourism.gov.my atau hubungi talian 03-8891 8235/8283.

Tentang Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Nurushama Abdul Hanan
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Perancangan Strategik
nurushama@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8235



Copyright ©2021 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use