Permainan dan Hobi

Alami Keseronokan Hidup Bermasyarakat


Sifat kemasyarakatan yang kuat di Malaysia ditunjukkan dalam banyak permainan dan hobi tradisional mereka. Aktiviti ini masih lagi dilakukan oleh anak-anak tempatan pada tengahari yang redup dan juga merupakan aktiviti kejiranan di musim perayaan seperti sebelum atau selepas musim menuai padi dan perkahwinan.

Silat

Seni mempertahankan diri Melayu yang menarik ini juga adalah sukan antarabangsa dan suatu bentuk tarian tradisional. Wujud di Kepulauan Melayu sejak berkurun lamanya, ia mempunyai pergerakan yang licin dan memukau yang digunakan untuk mengagumkan persaingannya. Adalah dipercayai dengan mengamalkan silat, akan meningkatkan kekuatan rohani selaras dengan ajaran Islam. Diikuti dengan gendang dan gong, seni purba ini amat popular dipersembahkan pada majlis perkahwinan Melayu dan perayaan budaya.

Sepak Takraw

Dikenali juga sebagai sepak raga, ia adalah permainan bola tradisional di mana sebiji bola, dihasilkan daripada anyaman buluh atau bambu, ditimang oleh pemain-pemain menggunakan sebarang bahagian badan kecuali lengan dan tangan. Terdapat dua jenis permainan sepak takraw: bulatan dan jaring. Sepak raga bulatan adalah bentuk asal permainan ini di mana pemainnya membentuk bulatan dan cuba memastikan bola berada di udara seberapa lama yang boleh. Sepak takraw jaring adalah versi moden di mana bola dihantar melepasi jaring tinggi.

Wau

Wau adalah permainan layang-layang yang amat popular terutamanya di negeri Kelantan, di Pantai Timur Malaysia. Mengikut tradisi, ia diterbangkan selepas musim tuaian padi; layang-layang besar ini kadangkala sebesar manusia - berukuran 3.5 meter dari bahagian kepala ke ekor. Ia dipanggil wau kerana bentuknya yang serupa dengan huruf Arab yang disebut "wau". Dengan warna-warni dan corak berasaskan flora dan fauna, layang-layang ini kelihatan sungguh cantik.

Gasing

Gasing adalah permainan berputar yang beratnya kira-kira 5 kg atau 10 paun dan sebesar pinggan makan. Secara tradisinya dimainkan sebelum musim menuai padi, permainan ini memerlukan kekuatan, koordinasi dan skil. Gasing ini ditetapkan berpusing dengan menarik keluar tali yang telah diikat di sekelilingnya. Kemudian ia diambil dari tanah, semasa masih berputar, menggunakan pemukul kayu dengan celahan di tengahnya dan dipindahkan ke tiang rendah dengan bekas besi. Jika dibaling dengan mahir, ia dapat berpusing selama 2 jam.

Wayang Kulit

Wayang kulit adalah teater tradisional yang membawa bersama kegembiraan pertunjukan patung, dan keseronokan dan kekaguman sebuah permainan bayang-bayang ringkas. Patung yang berpermukaan rata ini mempunyai dua dimensi dan diukir secara teliti, kemudian dicat dengan tangan. Ia dibuat sama ada daripada kulit lembu atau kerbau. Setiap anak patung, direka dengan bentuk manusia yang pelik, diberi rupa yang khusus dan bukan seperti anak patung bertali, mempunyai "tangan" bersendi. Dijalankan oleh seorang ketua pencerita dinamakan Tok Dalang, wayang kulit biasanya menceritakan epik India purba.

Congkak

Congkak adalah permainan matematik yang dimainkan oleh kaum wanita di zaman dahulu yang hanya memerlukan lubang dalam tanah dan biji asam jawa. Hari ini, ia adalah kotak kayu yang kukuh dengan dua baris lubang dengan lima, tujuh, atau sembilan lubang dan dua lubang besar di setiap hujung dipanggil "rumah". Congkak, dimainkan dengan cangkerang, biji guli atau biji asam jawa, serta memerlukan dua pemain.

Sepak Manggis

Sepak manggis adalah permainan luar yang dimainkan oleh orang Bajau dan Iranun di Sabah. Suatu bulatan dibentuk dan pemain berhadapan sesama sendiri, menyasarkan bekas bunga manggis yang digantung daripada tiang setinggi 10 meter. Pemenangnya akan diberikan ganjaran wang, hadiah ataupun makanan, yang diletakkan di dalam bekas bunga manggis tersebut.