Nov 6, 2023

TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ CUTI-CUTI KELUARGA

PUTRAJAYA, 4 November 2023 - Tourism Malaysia melancarkan 11 Pakej Cuti-Cuti Keluarga dengan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (MATFA) di Ekspo Kasih Madani yang berlangsung selama dua hari di Dataran Putrajaya bermula hari ini sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023.

Sebanyak tujuh pengendali taman tema menawarkan tawaran pakej menarik kepada pelancong domestik bermula 4 November sehingga 30 November 2023. Tawaran pakej adalah serendah RM23 seorang untuk pembelian tiket masuk dengan tempahan minimum 10 orang sehingga ke Pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M) bermula RM1,088 merangkumi 2 dewasa dan 2 kanak-kanak beserta bilik penginapan, sarapan pagi, tiga aktiviti dan tiket masuk ke taman tema.

Tempoh sah pakej adalah sehingga 30 Jun 2024. Antara pengendali taman tema yang mengambil bahagian termasuklah Sunway Lagoon (Camp Out!), SplashMania Water Park Gamuda Cove, THE TOP Penang Theme Park, Ripley’s Adventureland dan Jungle Gym Genting Highlands, Wet World Water Park Shah Alam dan Amverton Cove Golf & Island Resort.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan tawaran diskaun pakej pelancongan yang ditawarkan oleh 86 pemilik produk pelancongan di laman web Go Tifi (www.gotifi.com), iaitu satu platform sehenti untuk tempahan perjalanan pelancongan secara dalam talian yang mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, pelancaran Pakej Cuti-Cuti Keluarga itu secara tidak langsung diharap dapat membantu fokus kerajaan untuk memartabatkan institusi kekeluargaan sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan domestik.

“Tourism Malaysia berharap setiap keluarga dapat mengambil peluang ini untuk bercuti di dalam negara dan mencipta memori bersama insan tersayang menerusi tawaran eksklusif Pakej Cuti-cuti Keluarga.

“Kita memahami asas kesejahteraan bermula daripada ikatan kasih sayang erat yang dicurahkan oleh ibu bapa sebagai tunjang kekuatan dan nilai murni ini dapat dipupuk serta dimanifestasikan dengan meluangkan lebih masa menerusi percutian bersama keluarga,” katanya.

Bertemakan “Keluarga Harmoni, Negara Madani”, Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan juga boleh diperoleh dengan melayari laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Rubiah Tul’Adwiyah Hj. Md. Yusof
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
intanrubi@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8537

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755


Related Photos

Copyright © 2023 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use